Isnin, 9 Ogos 2010

Salam Ramadhan al-Mubarak

Alhamdulillah, kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T . Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia.
Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadhan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadhan.
Ramadhan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.
Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Sya'aban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadhan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.
Ramadhan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.
Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.
Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadhan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright© Asykuruka Ya Rabbi